Tuesday, March 10, 2009

Fakta Menarik Negeri Johor Darul Takzim

Assalamualaikum My Frieenndd!!! Untuk kali ni,aku nak bawakkan satu fakta yang aku rasa sebagai orang Johor,aku bangga menjadi Johorian ni..tapi rasa2nya fakta ni tak diketahui sangat oleh orang-orang Johor sendiri..so,let's check it out!!!

Sejarah Penubuhan Johor

Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.

Pembukaan negeri Johor bermula pada awal kurun ke-16 apabila Melaka telah ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah yang merupakan pewaris terakhir takhta kerajaan Melaka telah melarikan diri dan membuka kerajaan Johor. Pada waktu itu, Johor telah meluaskan empayarnya sehingga ke Riau.

Sejarah Johor moden bermula di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1866 seterusnya memegang gelaran “Seri Maharaja Johor”. Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan Perlembagaan Johor seterusnya membawa perubahan dalam pentadbiran negeri Johor yang lebih efisyen. Perpindahan pusat pentadbiran kerajaan Johor di Teluk Belanga ke Tanjung Puteri pada tahun 1841 memberi kesan yang positif kepada Johor terutamanya dari segi pembangunan. Pembinaan bangunan kerajaan, balai polis, masjid, mahkamah dan istana besar jelas membuktikan Sultan Abu Bakar berhak menerima gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Johor”.

Kini, Johor yang disempadani oleh Melaka, Pahang dan Singapura merupakan salah sebuah negeri yang pesat membangun dan maju di Malaysia.

Askar Timbalan Setia

Johor adalah negeri yang pertama memiliki pasukan tenteranya sendiri dan satu-satunya pasukan tentera yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini yang dinamakan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Askar Timbalan Setia adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar , Sultan Johor Darul Takzim.

Antara mereka yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah:

* DYMM Sultan Iskandar Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor
Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail menerima latihan ketenteraan dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda juga merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
* Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ke-3
Tun Hussein Onn juga pernah menyertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun , India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India.
* Jeneral(B) Ibrahim bin Ismail - bekas Panglima ATM
Jeneral (B) Ibrahim Bin Ismail pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke-19 di India.
* Ungku Ahmad bin Abd Rahman
Salah seorang daripada 3 orang yang dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India
* Dato Onn Jaafar
* Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid
Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid, bapa kepada YM. Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pernah menjadi seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai pangkat Mejar dalam tahun 1926.

Asal Usul Jalur Gemilang

Rekabentuk Jalur Gemilang/Bendera Malaysia sekarang adalah hasil ilham dari salah seorang rakyat dan arkitek kerajaan Negeri Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.

Pemilihan rekabentuk bendera tersebut bermula dari satu pertandingan bagi merekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan En. Mohamad bin Hamzah .
Penulis Asal Sejarah Melayu

Penulis asal Sejarah Melayu adalah Tun Sri Lanang yang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Tun Seri Lanang ialah Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615 , serta penyunting Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu .

Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam Sejarah Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974 ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor - Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal Abidin I (Sultan Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan Johor dari 1699 hingga 1719 ). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib Abdul Majid adalah anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).

Dalam pengetahuan orang-orang Melayu , nama Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah).
Penubuhan UMNO

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/United Malay National Organisation ditubuhkan pada tahun 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru, Johor. di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar. Detik bersejarah tersebut bermula dengan satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.

Dato Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak.

Tiga usul telah diluluskan oleh Kongres seperti berikut:

* Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
* Membantah pertubuhan Malayan Union
* Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.

Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.

Walaupun ada bantahan yang hebat daripada kaum Melayu , Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 menubuhkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. Maka UMNO pun lahirlah secara rasmi.

Asal Usul Nama Tempat

Wujudnya nama sesuatu tempat bergantung kepada beberapa sebab. Ada yang berpunca daripada kepercayaan atau cerita-cerita lisan (Kampung Batu Badak). Ada yang berasal daripada alam semulajadi seperti keadaan sekitar (Kukup), haiwan (Rengit) atau tumbuh-tumbuhan (Gunung Pulai) dan ada mengambil sempena nama tokoh-tokoh tempatan (Tenang). Sesetengah nama tempat pula lahir daripada peristiwa yang berlaku di tempat itu (Gelang Patah). Suatu hal yang menarik ialah perubahan yang berlaku kepada sebutan nama sesuatu tempat itu. Ada kalanya ia merupakan singkatan kata, pengubahan bunyi atau kepilatan sebutan.
Batu Pahat

Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.
Muar

Muar lahir daripada perkataan ‘muara’ iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.

Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan ‘muak’ (jemu dan ‘mu-aru’ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.

Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani Fatimah.
Mersing

Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Pekerja tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi terkenal di kawasan tersebut hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama Mersing.

Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.

Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.
Segamat

Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat’ atau ‘segar amat’. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.
Pontian

Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.
Kota Tinggi

Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis serangan Portugis yang berusaha hendak melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.

Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk berteduh dari gelora Laut Cina Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy kawasan tersebut dikenali dengan nama Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan permata dari zaman Han (SM200 - TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota Tinggi.
Tangkak

Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.
Kluang

Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

Well,setakat tu jee yang dapat aku isikan sekarang..banyak lagi sebenarnya..apapun,i'm proud to be a johorian..(gerek seeehh..)nantikan artikel gua yang mendatang..You're My Frieenndd daaa!!!...Assalamaualaikum w.b.t...

6 comments:

  1. Satu je yang tinggal tentang fakta ini... siapakah pencipta jata dan bendera negeri johor pula? ? ada siapa yang tahu.

    ReplyDelete
  2. nice..mohon share....

    saya orang johor, dan masih banyak yang saya tak tahu pasal negeri saya..terima kasih banyak2...!

    ReplyDelete
  3. Satu informasi yang amat berguna.. Terima kasih kerana berkongsi.. Luaskan Kuasamu!

    ReplyDelete
  4. siapa tahu sejarah sarjan bujal

    ReplyDelete
  5. siapa tahu sejarah sarjan bujal

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas pencerahan. Banyak yang saya baru tahu. 😁

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails